SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) bakal menjual kenderaan tenaga baharu (EV) keluaran Smart Automobile Co Ltd di pasaran Malaysia bermula suku keempat 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata pihaknya akan bertanggungjawab sebagai pengedar, penjual dan servis kenderaan EV itu di pasaran Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata, model pertama Smart akan dilancarkan pada suku keempat 2023 di Malaysia sebelum mula memasuki pasaran Thailand pada pertengahan 2024, sekali gus menjadi langkah besar kumpulan dalam menembusi pasaran kenderaan EV.
“Fasa pertama bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman dalam pengendalian servis dan pengecasan EV.
“Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu PROTON ke arah mesra alam sejajar dengan sasaran neutraliti karbon kerajaan menjelang 2050,” katanya selepas majlis menandatangani Perjanjian Pengedaran Am dengan Smart Automobile di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu berucap menggunakan Bahasa Melayu pada majlis berkenaan.
Yang turut hadir, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar.
Roslan (tengah) bersama Chunrong (kiri) dan Syed Faisal Albar pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara PROTON dengan Smart Automobile -NTSP/Faiz Anuar
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata bagi peringkat permulaan, pengeluar kereta nasional itu menyasarkan jualan sebanyak 800 hingga 1,000 unit setahun atau sekitar 10,000 unit sehingga 2027.
Beliau berkata, hanya satu model import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkan iaitu Smart #1 sebelum mengembangkannya ke model keluaran Smart Automotive yang lain.
Mengenai harga jualan Smart #1 pula, beliau berkata PROTON masih tidak menetapkan harga jualan tetapi berusaha untuk menjualnya pada harga yang berpatutan.
“Kami bawa masuk model CBU daripada Smart Automotive dan PROTON akan bertindak sebagai pengedar, penjual dan servis kenderaan itu.
“Bagi melaksanakan pemasangan tempatan (CKD) pula, masih lagi di peringkat awal dan kami perlu melihat kepada permintaan dan faktor lain sebelum boleh melaksanakannya.
“Apa yang penting ketika ini adalah meningkatkan kesedaran pembeli mengenai kepentingan kenderaan EV dan pengukuhan infrastruktur EV di Malaysia,” katanya.
Roslan berkata, PROTON turut menggesa kerajaan supaya melanjutkan insentif pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan kenderaan EV untuk tempoh beberapa tahun lagi.
Beliau berkata, ini kerana ia disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan sedemikian.
PROTON menyasarkan jualan sebanyak 800 hingga 1,000 unit setahun model Smart #1
Ditanya sama ada PROTON terlalu lambat memasarkan kenderaan EV daripada Smart Automotive sehingga hujung tahun depan, beliau menjelaskan terdapat banyak manfaat yang boleh dicapai kumpulan menerusi langkah itu.
“Langkah menyediakan kenderaan EV dari Smart Automotive pada hujung tahun depan dapat memberikan kami peluang untuk mengkaji dan mempelajari kehendak pasaran.
“Ini bagi menjadikan model EV ini kelak dapat menepati kehendak pengguna Malaysia selain memastikan ekosistem infrastruktur EV dapat dipertingkatkan.”
“Namun, ia akan tersedia untuk tatapan umum pada suku kedua tahun depan sebelum tempahan dibuka. Mengenai harga pula, ia akan diumumkan nanti,” katanya.
Model Smart #1 akan menjadi EV pertama dijual oleh PROTON tahun depan