Jasin: Polis Melaka akan melancarkan projek rintis ‘Smart City’ atau Bandar Pintar membabitkan Jonker Walk, Banda Hilir, bulan depan.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, inisiatif itu memfokuskan bagi pencegahan jenayah dengan penggunaan aplikasi teknologi pintar dalam meningkatkan keselamatan dan tahap keyakinan pelancong.
Katanya, pihaknya kini berkolaborasi dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkepakaran dalam teknologi ‘Facial Recognition System’ atau sistem pengecaman wajah untuk digunakan bagi membanteras jenayah.
“Keduanya, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan yang akan memberi kita CCTV (kamera litar tertutup).
“Perkara ini juga saya sudah maklumkan kepada Ketua Menteri kerana sebagai negeri pelancongan, kita melihat bukan kepada kopolisian konvensional sahaja, tapi berteknologi tinggi,” katanya.
Menurut Abdul Majid projek yang akan diselia oleh timbalannya itu adalah inisiatif daripada Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan diselia Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
“Jonker Walk ini dalam setahun hampir 15 juta orang melawat. Kalau kita berjaya melaksanakan Smart City, mungkin inisiatif ini akan disebar luas di Melaka.
“Kita akan lihat bagaimana polisi ini dapat menawan hati pelancong dalam dan luar negeri sebab bila pelancong nak datang ke sesebuah negara, dia akan melihat kadar jenayahnya.
“Jadi jika projek Bandar Pintar berkonsepkan pelancongan ini berjaya, kita nak hantar mesej kepada dunia bahawa Melaka selamat dikunjungi,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, setakat ini perbincangan asas sudah dibuat dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan UTeM.
“Melalui sistem ini dengan adanya data jenayah, jika penjenayah lalu saja kamera CCTV akan rakam dan terpapar segala rekod sekali gus tidakan pantas akan dilakukan polis,” katanya selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bemban di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah.