KUALA LUMPUR, 28 Jun — Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Confexhub akan mengeluarkan buku panduan “Malaysia Smart City Outlook 2021- 2022 (MSCO) – An Overview of Malaysia’s Smart City Technology, Industry Landscape, Priorities and The Way Forward”.
Dalam kenyataan bersama hari ini, MIGHT dan Confexhub berkata dengan tema “Embracing Technology Towards Enhancing Smart Cities and Communities”, MSCO berfungsi sebagai panduan praktikal untuk membantu pihak berkepentingan bandar pintar menilai pencapaian Malaysia dalam pembangunan bandar pintar.
Ia juga akan membantu mereka mengkaji teknologi strategik, selain mengenal pasti jurang dan bidang keutamaan untuk pembangunan.
Buku panduan ini turut menyediakan pelbagai kajian kes global dan pelan tindakan yang berpotensi sebagai rujukan untuk penggunaan tempatan.
Pengerusi Bersama (Industri) MIGHT Tan Sri Dr Ir Tajuddin Ali berkata MSCO bertujuan memberi motivasi kepada pihak berkuasa bandar untuk mengguna pakai teknologi dalam perancangan dan operasi bandar, selain menarik penggiat teknologi yang relevan untuk menyertai banyak peluang ekonomi yang akan datang.
“Penerbitan dokumen ini diharap dapat menunjukkan kepada kerajaan, industri dan komuniti bahawa Bandar Pintar menjanjikan sumber pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara, selain menyokong komitmen kemampanan negara pada masa sama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Confexhub Datuk Dr Abdul Aziz berkata dokumen tersebut disusun untuk memberi panduan kepada pemilik projek bandar pintar dan penyedia teknologi untuk membuat keputusan yang tepat semasa merancang dan membangunkan bandar pintar yang cekap, selamat dan inklusif, terutamanya dalam mengguna pakai teknologi baharu.
MSCO diadakan secara maya, bersempena mesyuarat agung tahunan ke-26 MIGHT pada 29 Jun, 2021.
SOURCE: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1976700