Bantuan kewangan untuk peniaga individu dan PKS bangunkan platform digital dan tingkatkan jualan melalui e-dagang
Iskandar Malaysia, 26 Ogos – Satu geran khusus untuk membangunkan platform digital kini ditawarkan kepada peniaga individu dan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang beroperasi di Johor.
Menurut Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), YBhg. Datuk Ismail Ibrahim, “Program ‘Iskandar Malaysia Startup Grant’ (IMSTART) diperkenalkan sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi dan ibklusif wilayah ini dan bersempena ‘Kempen Peringatan 15 tahun Iskandar Malaysia (IM15CC).”
“Geran ini akan memberi kelebihan kepada perniaga individu dan PKS untuk menghadapi cabaran semasa pandemik COVID-19 ini dan seterusnya meningkatkan kemampuan operasi dan capaian pasaran perniagaan melalui platform digital.”
Dengan peruntukan sebanyak RM2,000,000, seramai 200 individu dan PKS boleh mendapatkan bantuan sehingga RM10,000 untuk setiap perniagaan. Dengan bantuan kewangan ini, peniaga boleh membeli stok produk, menaiktaraf operasi perniagaan dengan peralatan dan sistem berteknologi dan mewujudkan platform e-dagang.
Individu dan PKS yang berminat mestilah warganegara Malaysia, berumur diantara 18 dan 45 tahun dan mempunyai perniagaan di Johor.
Geran ini terbuka kepada peniaga yang baru sahaja ingin mewujudkan perniagaan secara digital ataupun sudah pun mempunyai perniagaan secara digital sejak bulan Mac 2020.
Untuk mendaftarkan minat, sila lawat www.iskandarmalaysia.com.my/secure.
Program IMSTART ini merupakan salah satu daripada program di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia yang turut menawarkan pelbagai bantuan daripada segi kewangan dan latihan.
Ini termasuk bantuan kewangan berkaitan perniagaan untuk kumpulan B40 dan kumpulan rentan, bantuan kewangan dan latihan untuk pertanian bandar, geran untuk perniagaan berdasarkan trak dan perkongsian fasiliti, dan pelbagai lagi.
Lawati www.iskandarmalaysia.com.my untuk maklumat lanjut.