PUTRAJAYA, 5 November 2020 – YB Puan Hajah Zuraida Binti Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang Penyampaian Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berlangsung pagi ini secara maya dari Bilik Mesyuarat Berlian, KPKT. Majlis ini merupakan penganjuran kali pertama melibatkan sebanyak 151 PBT dari seluruh negara bagi mengiktiraf PBT yang telah menghasilkan peningkatan prestasi dalam penyampaian perkhidmatan mereka berdasarkan penilaian oleh Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT).
SPB-PBT merupakan sistem yang menilai tahap penyampaian perkhidmatan PBT di seluruh negara menerusi kaedah penggredan yang seragam. Ia bertujuan meletakkan PBT pada tahap kedudukan yang sesuai mengikut ranking untuk meningkatkan kapasiti daya saing setiap PBT selaras dengan Bidang Fokus E Rancangan Malaysia Kesebelas: Memanfaatkan pihak berkuasa tempatan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti pada peringkat tempatan. Sistem ini turut berperanan mengemas kini ciri-ciri PBT berprestasi tinggi bagi memastikan agar kecekapan organisasi sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
Siri pelaksanaan SPB-PBT bagi PBT Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan daripada 22 Mei 2018 hingga 31 Januari 2019 manakala bagi Sabah dan Sarawak pula daripada 23 April 2019 hingga 27 Februari 2020.
Dalam majlis ini, anugerah disampaikan kepada 10 buah PBT yang mendapat markah tertinggi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) dan 10 buah PBT yang mendapat peningkatan markah tertinggi SPB-PBT. Di bawah RMKe-11, Kerajaan menyasarkan 90% PBT memperoleh taraf minimum 4 daripada 5 bintang.
Anugerah ini disampaikan bertujuan untuk mengiktiraf PBT yang mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi serta membakar semangat semua PBT untuk terus meningkatkan sifat daya saing secara sihat antara satu sama lain. Pengiktirafan ini dijangka menjadi pemangkin dalam meningkat dan memantapkan kecekapan dan kualiti penyampaian perkhidmatan PBT kepada rakyat.
Majlis ini turut disaksikan oleh YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan YBhg. Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Senarai 10 buah PBT yang didapati mendapat markah tertinggi ialah:
BIL. | NEGERI | PBT | MARKAH | BINTANG |
1. | Perak | MP Manjung | 98.73 | 5 |
2. | Sabah | DB Kota Kinabalu | 98.03 | 5 |
3. | Terengganu | MB Kuala Terengganu | 97.98 | 5 |
4. | Selangor | MB Petaling Jaya | 97.60 | 5 |
5. | Selangor | MB Shah Alam | 97.50 | 5 |
6. | Johor | MP Pasir Gudang | 97.22 | 5 |
7. | Wilayah Persekutuan | DB Kuala Lumpur | 97.10 | 5 |
8. | Johor | MB Johor Bahru | 96.91 | 5 |
9. | Selangor | MP Ampang Jaya | 96.85 | 5 |
10. | Terengganu | MP Dungun | 96.80 | 5 |