PETALING JAYA- FTTH Council Asia Pacific (FFTH) melancarkan jenama dan logo terbaharunya kepada Fiber Network Council APAC sebagai usaha memberi tumpuan kepada pendekatan yang lebih futuristik dan influsif dalam industri telekomunikasi Asia Pasifik.
Ketua Operasinya, Rusafie Alam berkata, melalui penjenamaan baharu itu, ia mahu memainkan peranannya lebih aktif untuk bertindak sebagai pengkalan sumber utama untuk akses gentian optik di rantau ini.
“Inisiatif ini akan melibatkan gandingan bersama pihak berkepentingan industri, wakil kerajaan dan pengendali telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena Persidangan Malaysia FiberTalk 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.
Persidangan tersebut adalah platform bagi semua penggiat industri telekomunikasi (telco) memfokuskan kepada pembangunan terkini industri dan menangani cabaran dan peluang gentian ke rumah yang menyediakan keterhubungan 5G dan internet semua benda (IoT) untuk bandar pintar.
Turut hadir pada persidangan tersebut adalah Naib Pengerusi Jawatankuasa Bandar Pintar FTTH, Guven Togan; Exco Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA), Mohamed Shahjahan Mohamed Iqbal; Pengurus Produk Serantau APAC, Viavi Solution, Mathew Zahra dan Pengerusi Keahlian Korporat FTTH, Frank Jaffer.
Majis FTTH Asia-Pacific adalah sebuah organisasi tidak bersandarkan keuntungan ditubuhkan pada tahun 2005 di Singapura.
Organisasi tersebut sedang membina kejayaan organisasi di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mendidik industri dan orang awam tentang peluang dan faedah penyelesaian FTTH.
Ahli Majlis FTTH Asia-Pasifik mewakili semua bidang industri jalur lebar, termasuk telekomunikasi, pengkomputeran, rangkaian, penyepaduan sistem, kejuruteraan dan syarikat penyedia kandungan, serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi tradisional, utiliti dan majlis perbandaran.
Selain itu, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Fiber Network Council APAC dengan MSCA yang memanfaatkan rangkaian ahli FTTH untuk memacu kerjasama secara kolektif dalam pembangunan bandar pintar.
Ini melibatkan pertukaran pengetahuan, kepakaran, teknologi dan pengetahuan untuk menyediakan penyelesaian telekomunikasi jangka panjang yang mampan untuk membangunkan bandar pintar.
MoU itu juga memerlukan kerjasama dalam pembinaan kapasiti untuk penilaian prestasi projek bandar mampan dan pintar serta meneroka potensi jangkauan pasaran yang besar dalam segmen pendidikan dan latihan berasaskan teknologi IR 4.0. -KOSMO! ONLINE